NGO Indonesia yang memperjuangkan kes dakwaan rogol oleh seorang menteri  kabinet semasa pentadbiran mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad  Badawi berkata mangsa dan keluarganya merayu agar identiti mereka  dirahsiakan.
Ini kerana mereka bimbang impak skandal  itu ke atas mereka dan kemungkinan menteri berkenaan yang kini  berkhidmat di bawah pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak  akan mempunyai kesan kepada mereka meskipun berada di Indonesia.

Menurut  sepucuk surat yang didakwa ditulis oleh adik perempuan mangsa - yang  disiarkan di beberapa blog - dan dihantar ke kedutaan Indonesia dan  Amerika Syarikat di Kuala  Lumpur, kejadian rogol itu terus dirahsiakan  kerana “menteri berkenaan mempunyai banyak wang dan kenalan di  Indonesia.”
“Adalah dikhuatiri sesuatu akan berlaku  kepada keluarga dan kakak saya seperti yang berlaku dalam kes Altantuya  di Malaysia,” petik surat yang ditulis pada pertengahan 2007 itu yang  merujuk kepada pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Ketika dihubungi ketika itu, pengarah Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, Anis Hidayah memberitahu 
Malaysiakini mereka  tidak boleh menghebahkan kes itu kerana mangsa dan keluarganya-  meskipun telah menjalani sesi kaunseling - menolak untuk membuat  kenyataan umum dan mengheret menteri berkenaan ke mahkamah.
Isu  yang tertersorok selama tiga tahun itu muncul semula di alam siber  sejak beberapa minggu lalu apabila ia dikatakan didedah oleh laman 
WikiLeaks.
Ketua pengarang 
The Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan juga menulis mengenai pendedahan WikiLeak dalam blog 
Rocky Bru kelolaannya. Menurut beliau Pejabat Perdana Menteri yang ketika itu di bawah Abdullah juga menerima laporan berkenaan.
Pada  27 Disember 2009, kumpulan pelindung pendatang asing, Tenaganita  mendesak kejadian rogol yang didakwa berlaku pada 19 Jun 2007 itu  disiasat.
Pada laporan bertarikh Ogos 2007, Anis  berkata perjumpaannya dengan mangsa berkenaan pada 24 Julai tahun yang  sama di rumah mangsa di  Madukara, Banjarnegara Jawa Tengah untuk  mendapatkan maklumat.
Setelah dipujuk, mangsa  berkenaan yang telah bekerja selama lapan tahun sebagai pembantu rumah  kepada menteri berkenaan, akhirnya  mengakui majikannya itu telah  merogolnya.
Mangsa bagaimanapun merayu kepada Anis  dan dua aktivis Migrant Care supaya kes perogolannya tidak dihebahkan  kerana “bimbang malu ke atas dirinya, keluarga dan juga masyarakat di  kampung mereka.”
Katanya, “beliau hanya orang kecil  berbanding (menteri itu) adalah orang besar, jadi beliau amat takut dan  meminta kes rogol itu ditutup,” petik laporan Anis.
Renung-renungkanlah...
Sumber : 
http://www.malaysiakini.com/news/152317